KOTA TINGGI – Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor menahan sebuah kapal tangki yang berdaftar di Denmark kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal berkenaan ditahan pada pukul 6.51 petang di kedudukan 23.8 batu nautika timur Tanjung Gemoh.
Katanya, penahanan berlaku semasa aset APMM melaksanakan rondaan rutin dan telah mengesan sebuah kapal tangki bersauh di lokasi yang tidak dibenarkan.
“Pemeriksaan awal mendapati kapal berukuran 183 meter itu dikendalikan oleh 19 kru termasuk nakhoda, yang terdiri daripada warga Rusia, Filipina, India, Ukraine dan Romania berumur antara 23 hingga 49 tahun, serta memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Bagaimanapun nakhoda kapal telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh serta pemakluman ketibaan di perairan Malaysia,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Nurul Hizam berkata, ekoran itu seorang kru telah dibawa ke darat bagi proses saringan Covid-19 sebelum dibawa ke Unit Siasatan Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.
“Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,”katanya.
Mengulas lanjut, Nurul Hizam berkata, sebanyak 42 buah kapal telah ditahan dalam OPs Jangkar Haram.
Katanya, penahanan terbaharu itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 oleh Maritim Negeri Johor bagi tahun 2021 sehingga hari ini adalah sebanyak 62 kes.-K! ONLINE