KUALA LUMPUR – Setelah lima bulan terpisah akibat pandemik Covid-19, bayi lelaki warga Thailand akhirnya dibawa pulang ke negaranya pada pukul 8.30 malam tadi.
Ibu bayi itu, Nurhaliza Chek Awae, 18, ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan perkara tersebut.
Menurut wanita itu, dia akan bergerak ke sempadan Bukit Kayu Hitam dengan menaiki ambulans Hospital Pattani pada pagi esok (waktu tempatan).
“Pihak Hospital Pattani akan membawa saya ke sempadan pada pukul 6 pagi (waktu tempatan) untuk mengambil bayi saya.
“Saya juga sudah menyediakan kelengkapan bayi kerana dia (bayi) perlu menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah nanti,” katanya di sini hari ini.
Jelas Nurhaliza, suaminya, Muhammad Tifyoleah, 28, tidak akan mengikutinya pergi ke sempadan kerana perlu menguruskan pendaftaran bayi mereka.
Sementara itu, wakil Kedutaan Thailand di Malaysia turut mengesahkan perkara tersebut.
Difahamkan, bayi berkenaan dibawa ke sempadan dengan menggunakan kenderaan khas yang disewa oleh kedutaan.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan proses penghantaran seorang bayi lelaki yang terpisah selama lima bulan dengan ibu bapanya, warga Thailand dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya pada Rabu berikutan penutupan sempadan Thailand-Malaysia. – K! ONLINE