fbpx

Mak teh bikin onar, Covid-19 lebih ganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Satu juta slot untuk tempahan kedua janji temu vaksin AstraZeneca yang dibuka kepada rakyat Malaysia berusia 60 tahun ke bawah kelmarin penuh dalam masa 75 minit.

Tahniah, ini bukti bahawa anda bukan anti vaksin tetapi sayangkan nyawa sendiri dan orang lain.

Perkembangan ini juga membuktikan dakyah magnet dan audio Mak Teh tidak berjaya menghancurkan keyakinan anda untuk mendapatkan vaksin.

Berdasarkan audio, Mak Teh mendakwa kira-kira 40 orang jururawat, petugas hospital mati akibat pengambilan vaksin. Bukan sikit angka kematian tersebut, ia melibatkan frontliner.

Individu tersebut turut mendakwa vaksin Covid-19 tidak diuji di makmal serta mengandungi racun yang menyebabkan kematian.

Bayangkan dengan audio Mak Teh yang tersebar melalui WhatsApp ini mungkin menyebabkan 100,000 rakyat atau lebih enggan mengambil vaksin sedangkan ia palsu.

Vaksin bukan racun tetapi sebagai perlindungan untuk kita daripada jangkitan Covid-19 yang kritikal.

Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak menyebarkan berita palsu menyukarkan usaha kerajaan mencapai herd immunity atau imuniti kelompok.

Imuniti Kelompok adalah keadaan di mana sebuah agen infektif (atau jangkitan) tidak dapat memasuki atau tersebar dalam kalangan suatu kelompok masyarakat kerana sebahagian besar daripadanya mempunyai

imuniti dan terlindung daripada penyebab jangkitan tersebut.

Cara terbaik mencapai Imuniti Kelompok adalah melalui vaksinasi.

Kepada penyebar khabar angin palsu, berhentilah, anda tidak membantu, malah merencatkan usaha orang lain demi keselamatan diri.

Percayalah kata-kata pakar perubatan kita. Mereka lebih arif mengenai pandemik ini.

Pengambilan vaksin adalah langkah pencegahan bagi melindungi diri dan masyarakat sekeliling.

Penting untuk difahami, apabila anda mengambil vaksin, jangkitan masih boleh berlaku, namun kadar kebolehjangkitan itu adalah jauh lebih rendah.

Langkah vaksinasi juga boleh melindungi daripada kematian, dimasukkan ke unit rawatan rapi atau memerlukan bantuan pernafasan sekali gus mengurangkan beban kepada sistem kesihatan. Ingat, ini usaha kita.

Di saat peningkatan kes harian Covid-19 yang telah mencipta rekod baharu sebanyak 7,478 kelmarin, rakyat Malaysia perlu bertindak.

Kepada bekas pesakit Covid-19 dan ahli keluarga yang terkesan, berceritalah kepada masyarakat pengalaman anda, kesakitan yang dirasai serta trauma yang ditanggung.

Berkongsilah tentang harapan dan pandangan anda berhubung pandemik ini kerana ia dapat membuka mata orang lain bahawa Covid-19 bukan perkara main-main atau agenda kerajaan.

Peranan kita dalam menentukan menang atau kalahnya perang melandaikan kes Covid-19 ini amat besar dan penting.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI