fbpx

Zidane tinggalkan Real Madrid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZIDANE dikatakan sudah tidak sehaluan dengan pihak pengurusan menyebabkan beliau membuat keputusan meninggalkan Real. – AFP

MADRID – Ketua jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane dilaporkan telah melepaskan jawatannya bersama gergasi Sepanyol itu berkuat kuasa serta-merta awal pagi semalam meskipun kontrak­nya masih berbaki sehingga 30 Jun 2022.

Difahamkan, Zidane, 48, membuat keputusan tersebut kerana tidak sehaluan dengan pihak pengurusan Real selepas menamatkan musim ini tanpa sebarang kejuaraan.

Bagaimanapun, ia bukan satu kejutan kerana pengendali dari Perancis itu sudah beberapa kali pada musim ini memberi baya­ngan mahu meninggalkan Real selepas kembali melatih Los Blancos buat kali kedua pada 11 Mac 2019.

Kepulangan semula Zidane menyaksikan Real berjaya menjulang kejuaraan La Liga musim lalu, namun kecemerlangan itu gagal diteruskan pada saingan kali ini apabila gelaran tersebut terlepas di tangan musuh setempat, Atletico Madrid.

Kali pertama Zidane dilantik sebagai ‘bos besar’ Real dari 2016 hingga 2018 menyaksikan beliau menang tiga gelaran Liga Juara-Juara, satu trofi La Liga, Piala Super Sepanyol dan dua Piala Super Eropah serta Piala Kelab Dunia.

Beberapa nama kini mula dikaitkan untuk menggantikan tempat Zidane seperti calon ke­gemaran penyokong-penyokong setia Real iaitu Raul Gonzalez yang kini melatih pasukan pembangunan Real Madrid Castilla.

Selain Raul, bekas pengendali Juventus, Massimiliano Allegri, pengurus Everton, Carlo Ancelotti, Xabi Alonso dan Antonio Conte yang sudah meletakkan jawatannya bersama Inter Milan turut berada dalam radar Real.

Kini, gergasi Itali, Juventus dan juara baharu Serie A, Inter Milan dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat Zidane sebagai ketua jurulatih mereka bagi saingan musim depan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI