PUTRAJAYA – Orang ramai berkemungkinan boleh memilih untuk menerima vaksin Covid-19 yang dikehendaki menerusi satu bentuk kemudahan yang akan dibuat di aplikasi MySejahtera dalam masa terdekat.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya kini sedang meneliti perkara tersebut dengan turut melihat kepada penambahbaikan kepada aplikasi tersebut.
“Satu kemudahan mungkin akan diberikan kepada orang ramai untuk mereka membuat pilihan kepada vaksin yang akan diterima. Kemudahan ini akan dibuat melalui aplikasi MySejahtera yang akan ditambah baik tidak lama lagi,” katanya dalam sidang akhbar secara maya di sini hari ini.
Sementara itu, Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba telah menandatangani perjanjian dengan syarikat Pfizer pada 21 Mei lalu untuk penambahan sebanyak 12.8 juta dos.
“Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan dos meningkat kepada 44.8 juta dan ini bermakna negara akan menerima penghantaran 25,682,670 dos vaksin Pfizer pada suku ketiga tahun ini,” katanya.
Jelasnya, sejumlah 2,223,000 dos vaksin Pfizer akan diterima pada bulan Jun depan dengan 444,600 dos akan dihantar setiap minggu bagi tempoh lima minggu.
“Ini bermakna, keseluruhan vaksin Pfizer yang telah dan akan diterima sehingga akhir Jun ialah 4,974,840,” katanya.
Bagi vaksin Sinovac pula, Khairy Jamaluddin berkata, kesemua tempahan melibatkan 12 juta dos akan dihantar sepenuhnya pada bulan Jun dan Julai depan.
Katanya, ia merangkumi 5,089,800 produk fill and finish daripada kilang Pharmaniaga di Malaysia serta 6,910,200 dos produk siap dikilang daripada kilang Sinovac di Beijing, China.
“Bagi vaksin AstraZeneca pula, kita dijangka menerima 610,000 dos pada bulan Jun dan 410,000 dos pada bulan Julai yang mana ia masih tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah,” ujarnya.
Tambahnya, dengan penghantaran kesemua vaksin terbabit, pihaknya menjangkakan dapat memberi 150,000 suntikan sehari pada bulan Jun nanti dengan melibatkan lebih banyak pusat pemberian vaksin di seluruh negara. -K! ONLINE