PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia baru-baru ini membawa arus nasionalisme ekonomi dan dasar perlindungan oleh blok kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah, dan China.
Ketiga-tiga blok ini dilihat menangguk di air keruh bagi menguatkan ekonomi negara masing-masing dengan mengikis orde perdagangan dunia yang sebelum ini sudahpun tercalar teruk akibat perang perdagangan antara AS dan China.
Menurut data daripada Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNCTAD), krisis Covid-19 berpotensi menghapuskan 40 peratus pelaburan langsung asing (FDI) di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut IRIS, Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata, walaupun negara terkesan dengan krisis tersebut, ia juga membuka peluang yang memaksa Malaysia menilai semula perjanjian-perjanjian perdagangan antarabangsa.
“Sarjana juga turut menyebut bahawa situasi ini membuka ruang untuk menilai semula dan memperbetulkan globalisasi ekonomi pra-Covid yang sudah menjadi lapangan untuk kuasa besar dan syarikat multinasional menelan kuasa-kuasa ekonomi yang lebih kecil.
“Kita harus melihat apakah peranan kita sebagai sebuah negara berdagang selama ini berlaku dalam bentuk yang boleh memajukan agenda negara kita secara hakiki atau kita sekadar menjadi satu sambungan kecil dalam rantaian bekalan global,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Ujarnya, kepimpinan perlu memberi perhatian kepada sekuriti makanan negara kerana kebergantungan negara terhadap komoditi eksport.
“Kerajaan perlu melakukan penilaian semula secara mendasar terhadap keselamatan makanan negara secara menyeluruh meliputi isu kebergantungan kepada import makanan, isu pembahagian penggunaan tanah, isu pemodenan dan pemerkasaan teknologi untuk sumber makanan dan urus tadbir yang lebih holistik,” jelas Syed Ahmad.
Sementara itu, Pakar Geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, Covid-19 akan membawa gelombang nasionalisme baharu yang mana Malaysia boleh memanfaatkan sentimen itu.
“Umpamanya rakyat Korea Selatan amat berbangga dengan produk buatan sendiri atas semangat nasionalisme. Seharusnya semangat nasionalisme rakyat malaysia dipertingkat kerana strategi kerajaan untuk merancakkan ekonomi negara pasca Covid-19 adalah melalui permintaan tempatan,” katanya.
Beliau berkata, pelancong domestik diharap menjadi pemangkin untuk merancakkan sektor pelancongan. Begitu juga dengan barangan tempatan yang seharusnya disokong rakyat untuk membantu industri kecil dan sederhana tempatan.
Selain itu katanya, pengambilan pekerja tempatan seharusnya diutamakan.
“Contohnya apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengenakan syarat pekerja warga asing tidak boleh bekerja di Pasar Borong Selayang yang mana pada mulanya ditentang kerana gusar tiada warga tempatan mahu bekerja, tetapi akhirnya diterima.
“Ini kerana, kaedah harapkan warga asing dengan upah murah tidak lagi boleh dilakukan akibat risiko pandemik,” jelasnya.
Dengan cara itu, Azmi berkata, rakyat tempatan berpeluang menikmati upah yang lebih tinggi kerana majikan tiada pilihan menggajikan warga asing seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat.
“Nasionalisme yang cara yang betul boleh menguntungkan negara,” katanya. K! ONLINE