JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri mengambil beberapa pendekatan termasuk sedang berusaha mendapatkan bekalan vaksin sendiri seperti membeli dari Singapura dalam memastikan proses vaksinasi dilaksanakan dengan cepat, selamat dan efektif.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, pihaknya juga akan bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan semua pihak berkaitan untuk proses mendapatkan vaksin Covid-19.
Katanya, Johor juga lebih awal berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin di bawah inisiatif ImmuPlan Johor bagi mendapat bekalan vaksin tambahan sebanyak 100,000 dos yang dikhususkan kepada ‘Economic Frontliners’ di negeri ini.
“Sehingga semalam, sebanyak 85,849 permohonan telah diterima. Daripada jumlah itu, 72,180 permohonan memenuhi kriteria untuk dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan ekonomi negeri Johor.
“Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM50,000 kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sama ada kerajaan atau pembangkang bagi membantu kerajaan menyebarkan maklumat mengenai kaedah menangani Covid-19.
“Saya berharap penglibatan daripada semua ahli Parlimen dan ADUN Johor dalam program advokasi dan membantu menguar-uarkan informasi yang tepat dan sahih berkaitan usaha kerajaan menangani pandemik Covid-19,” katanya.
Keputusan itu dibuat hasil perbincangan secara maya melibatkan wakil rakyat negeri yang dipengerusikannya, hari ini.
Hasni memberitahu, kerajaan negeri sedang merancang untuk pemberian pakej rangsangan ekonomi 3.0 sebagai inisiatif kepada golongan yang terkesan disebabkan pandemik Covid-19. -K! ONLINE