PETALING JAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir memberi keterangan kira-kira pukul 12.30 tengah hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.
Difahamkan, Syed Saddiq memberi keterangan berhubung ciapannya di Twitter berkaitan tindakan Bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang tidak memakai pelitup muka ketika sidang akhbar.
Syed Saddiq yang juga Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkata, pihaknya telah memberi kerjasama penuh sepanjang proses rakaman percakapan tersebut berjalan.
“Hari ini saya hadir ke IPD Dang Wangi bagi memberi keterangan berhubung ciapan di Twitter mengenai tindakan Datuk Seri Tajuddin yang tidak memakai pelitup muka ketika sidang akhbar baru-baru ini.
“Saya telah memberikan kerjasama yang baik dan telah merakam percakapan yang memakan masa sehingga sejam setengah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di IPD Dang Wangi di sini hari ini.
Tambahnya, tindakan lanjut akan diserahkan kepada pihak polis untuk menentukan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kehadiran Syed Saddiq untuk dirakam percakapan.
Terdahulu, tular di Twitter sejak Selasa lalu yang memaparkan ciapan Syed Saddiq berhubung isu berkenaan.
Ciapan tersebut telah diulang ciap lebih 16,000 kali dengan lebih 15,000 tanda suka. -K! ONLINE