PETALING JAYA – Tindakan jahat tiga lelaki menyamun warga asing untuk mendapatkan wang serta barangan berharga di sekitar kawasan Damansara di sini akhirnya mendapat balasan apabila mereka ditahan polis pada 22 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan pada 21 Mei lalu daripada seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun memaklumkan telah disamun sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah daripada tempat kerja.
“Sewaktu mangsa menunggang basikal untuk pulang ke rumah di kawasan Bandar Utama, dia telah didatangi oleh tiga lelaki tempatan bersenjatakan pisau yang kemudiannya meminta mangsa menyerahkan dompet serta telefon bimbit miliknya.
“Mangsa juga mendakwa telah dipukul pada kepala serta badan dalam kejadian itu dan mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM500,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohamad Fakhruddin, bertindak atas maklumat, pada keesokan harinya sepasukan polis dari Balai Polis Damansara telah berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia 18 hingga 22 tahun di kawasan Damansara Utama yang disyaki terlibat dalam kejadian samun sebelum ini.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas ketiga-tiga suspek telah menemui pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan samun iaitu empat buah telefon bimbit pelbagai jenama, dua dompet dan beg sandang, wang tunai berjumlah RM134 serta sebatang payung.
“Semakan rekod yang dilakukan mendapati dua daripada mereka masing-masing mempunyai satu rekod jenayah lampau melibatkan kes curi dan merusuh manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Mohamad Fakhruddin berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek yang ditahan terlibat dalam kes samun berkawan tanpa senjata api di sekitar kawasan Damansara melibatkan lima kes samun yang mensasarkan pekerja warga asing.
“Dalam kesemua kes tersebut suspek telah bertindak agresif dengan mencederakan mangsa seterusnya mengambil barangan berharga milik mereka.
“Kesemua suspek kini ditahan reman tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan semasa melakukan samun dan jika disabitkan sealahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat,” tegas beliau.- K!ONLINE