IPOH – Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini mengesahkan pelakon, Datin Paduka Eina Azman dan pasangan menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di hospital itu kelmarin.
Pengarah HRPB, Dr. Abdul Malek Osman berkata, kelayakan pemberian vaksin kepada Eina dan suami, Datuk Paduka Kaiser Gurmeeet Harden itu adalah berdasarkan rujukan doktor pakar atas masalah kesihatan dan komorbid yang dihadapi mereka.
Katanya, pemberian suntikan vaksin untuk fasa kedua diberi keutamaan kepada golongan berumur 60 tahun ke atas dan individu yang mempunyai komorbiditi serta golongan berisiko tinggi.
“Pihak hospital mengambil maklum isu tular di laman sosial berkaitan seorang artis wanita dan pasangan yang didakwa telah memotong barisan dan mengambil suntikan vaksin Covid-19 di Ipoh.
“Berdasarkan semakan, tiada isu potong barisan membabitkan pemberian suntikan vaksin itu kerana pasangan terbabit telah dimasukkan ke dalam senarai penerima atas nasihat doktor pakar kerana dikategorikan dalam golongan berisiko tinggi. Pasangan itu menerima suntikan berkenaan di PPV HRPB pada 25 Mei lalu,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.-K! ONLINE