KLUANG – Seorang pemilik syarikat alat ganti kenderaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, pertengahan bulan ini.
Tertuduh, Tan Chuang Loong, 32, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mujib Saroji.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh K. Ramachandran dengan menggunakan sebatang paip poly.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 2.50 pagi hingga 4 pagi di kilang B&B Auto Parts Trading, nombor 1, Jalan Perindustrian Gemilang, Taman Perindustrian Gemilang pada 15 Mei lalu.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 17 Jun untuk pihak pendakwaan menyerahkan laporan bedah siasat.- K! ONLINE