PUTRAJAYA – Kedua-dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang terbabit insiden pelanggaran pada Isnin lalu berjaya dibawa keluar awal pagi tadi.
Perkara itu disahkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong menerusi hantaran di Facebook, pagi ini.
Ka Siong berkata, tren itu berjaya di bawa keluar kira-kira pukul 5.24 pagi tadi iaitu lebih awal dari tempoh tiga hari yang dijanjikan selepas bekerja tiga syif tanpa henti.
Menurutnya, tren TR40 telah selamat sampai ke Subang depoh pada pukul 3.45 pagi manakala TR81 pula telah sampai di Gombak pada pukul 4.51 pagi.
“Pihak Prasarana akan menumpukan kepada kerja-kerja pembaikan track dari Stesen Kampung Baru ke Stesen KLCC.
“Bagaimanapun, kami terpaksa menutup pembekalan kuasa untuk seluruh laluan itu bermula dari Stesen Dang Wangi ke Stesen Damai melibatkan lima buah stesen LRT iaitu Damai, KLCC, Ampang Park, Kg Baru & Dang Wangi,” katanya.-K! ONLINE