BAGAN DATUK – Selepas 10 jam dilaporkan hilang setelah dihanyutkan arus Sungai Perak di Kampung Tebing Rebak, Hutan Melintang di sini semalam, mayat Muhammad Amirnur Hadi Ahmad Kamal, 21, berjaya ditemui hari ini.
Mayat pelajar sebuah universiti tempatan itu ditemukan pada pukul 3.30 pagi kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir mangsa hilang dibawa arus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang, Zulkaflee Abdullah berkata, mayat mangsa dijumpai setelah timbul berhampiran tebing sungai.
Katanya, mayat lelaki itu dibawa naik ke jeti dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi pencarian semalam merangkumi jarak pencarian sejauh tujuh kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat sebelum dia dijumpai awal pagi tadi,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang semalam, mangsa dihanyutkan arus deras selepas menyelamatkan adik lelakinya berusia 15 tahun yang hampir lemas.
Semasa kejadian, dua beradik itu sedang mandi bersama rakan-rakan mereka.-K! ONLINE