fbpx

Ayuh rakyat, kita bukan manusia degil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

JAUH di sebuah kampung di pedalaman Keningau, Sabah, tinggal seorang lelaki warga emas berusia 82 tahun.

Saban hari, lelaki tua dan kurus kering dengan rambut beruban itu hanya menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama kebun sekangkang kera yang diusahakan sejak 25 tahun lalu.

Sejak pandemik Covid-19 melanda negara, hanya sekali dia dapat berkumpul bersama lapan anaknya.

Jujur, lelaki tua itu sangat sedih, tetapi dia akur dengan arahan untuk tidak berkumpul beramai-ramai.

Di Shah Alam, Selangor, seorang pekerja kilang elektronik tinggal bersama tiga rakan sekampungnya di sebuah rumah flat kos rendah.

Seperti lelaki tua tadi, pekerja kilang itu sudah hampir setahun tidak bertemu ibu bapanya yang berada nun jauh di Miri, Sarawak.

Jujur, pemuda itu juga sangat sedih dan rindu akan orang tuanya, namun dia tetap akur untuk tidak pulang ke kampung kerana enggan menjadi asbab kepada penyebaran virus dalam kalangan keluarga.

Sebenarnya, banyak lagi kisah tentang pengorbanan rakyat Malaysia.

Ada yang kematian orang tersayang, tetapi hanya mampu melihat dari jauh. Ada yang ditimpa musibah, tetapi hanya menanggung seorang diri.

Lebih parah lagi, ramai yang kehilangan kerja dan terpaksa menjadi mangsa kepada kemelesetan ekonomi.

Justeru, menyalahkan rakyat, melabel rakyat sebagai degil dan menuduh rakyat sebagai punca peningkatan kes bukanlah penyelesaian bijak kepada usaha kerajaan melawan pandemik Covid-19.

Ya betul, memang ada rakyat yang buat salah, dan ramai juga yang sombong sehingga sewenang-wenangnya melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Bagaimanapun, kedegilan segelintir rakyat perlu diseimbangkan dengan ketegasan kerajaan dalam mengawal pandemik.

Tiada gunanya kerajaan ‘menekan’ rakyat, tetapi dalam masa sama, SOP yang ditetapkan agak longgar sehingga mudah ‘dibolosi’.

Tidak cukup dengan itu, beberapa keputusan atau ketetapan yang dibuat agak bercelaru sehingga menimbulkan pelbagai andaian negatif dalam kalangan rakyat.

Hakikatnya, dengan jumlah penduduk yang melebihi angka 32 juta orang, kerajaan perlu membuat satu ketetapan muktamad, dalam memastikan kesemua 100 peratus rakyat patuh kepada setiap arahan.

Pendekatan yang lebih bijak, selain menghukum perlu dilakukan, seperti mana yang kerajaan pernah lakukan ketika Malaysia berjaya mengawal pandemik pada gelombang pertama dahulu.

Keseluruhan rakyat kita bukannya degil.

Mereka telah buktikan sebelum ini, dan kini kita hanya perlu kekal dengan kepercayaan bahawa kerjasama daripada rakyat sahaja mampu menghapuskan Covid-19 dari bumi Malaysia.

Percayalah, tiada rakyat yang mahu hidup menderita.

Seperti kata negarawan Indonesia, Bung Hatta, biarlah pengalaman masa lalu menjadi tonggak kepada kebangkitan dan bukannya tonggak yang membelenggu masyarakat kita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI