PETALING JAYA – Sindiket pengedaran dadah tumpas selepas lima individu ditahan dalam operasi khas yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur pada Ahad lalu.
Operasi pada pukul 4.59 petang itu telah dijalankan di kawasan Taman Overseas Union dan sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, dekat sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, lima individu yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan dan dua wanita warga Vietnam berusia dalam lingkungan 21 hingga 38 tahun.
“Hasil pemeriksaan dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah rumah telah membawa kepada rampasan dadah yang disyaki serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 1.28 kilogram (kg) dan pil erimin 5 (2.56kg).
“Polis turut merampas gelang kaki emas(3), rantai tangan emas (2) dan wang tunai berjumlah RM3,200,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut di sebuah kondominium di Subang Jaya telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun.
Mengulas lanjut, polis telah membuat rampasan dadah seperti serbuk MDMA seberat 2.25 kg, pil erimin 5(0.26 kg) dan ekstasi (0.32kg). Turut dirampas sebuah kereta jenis Honda Accord dan wang tunai berjumlah RM10,600.
“Ujian saringan suspek ini juga didapati positif dadah jenis Ketamin manakala semakan mendapati dua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau.
“Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan ialah RM457,280.80 membabitkan rampasan dadah bernilai RM396,600.80, sitaan wang tunai(RM13,800), sitaan emas (RM16,880) dan sitaan kenderaan (RM30,000).
Tambah Adnan, dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi oleh warga tempatan dan warga asing.
“Sindiket ini juga dikesan aktif dalam pengedaran dadah sejak tiga bulan lalu di sekitar Lembah Klang. Keseluruhan dadah yang di rampas boleh dibekalkan kepada 16,293 orang penagih,” jelasnya.
Kesemua suspek ditahan reman di bawah seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah sejak Ahad hingga Sabtu ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. – K! ONLINE.