TUMPAT – Seorang pesara kerajaan dikompaun RM4,000 selepas didapati memakai gelang pink ketika sedang membeli barangan dapur di Pasar Sumayyah di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab. Rashid Mat Daud berkata, lelaki berusia 73 tahun itu dikompaun selepas didapati keluar dari rumahnya ketika sedang menjalani pengawasan dan pemerhatian di rumah.
Menurutnya, polis telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM4,000 kepada warga emas yang berasal dari Palekbang di sini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan Penyakit-Penyakit Berbahaya 1988 (Akta 342),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Ab. Rashid memberitahu, polis memohon orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika melihat ada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) terutamanya kepada mereka yang dikenakan tindakan kuarantin.
“Saya juga memohon kerjasama orang ramai untuk terus patuh kepada SOP.
“Pematuhan SOP ini penting dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yang semakin membimbangkan ketika ini,” ujarnya.
Terdahulu, tular sekeping gambar di Facebook menunjukkan seorang warga emas dikompuan kerana pemakai gelang pink ke pasar berkenaan hari ini.
Tindakan tidak bertangjawab warga emas itu jelas menunjukkan sikap tidak acuhnya terhadap penularan jangkitan Covid-19 ketika ini. – K! ONLINE