PETALING JAYA – Operasi mengeluarkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang terlibat dalam kemalangan berdekatan Stesen LRT KLCC malam Isnin lalu diteruskan hari ini.
Prasarana dalam satu kenyataan berkata, kerja-kerja pemulihan itu dilakukan sepenuh masa dengan operasi tiga syif oleh kakitangan daripada pelbagai jabatan termasuk kejuruteraan dan teknikal.
Katanya, kerja-kerja pemulihan tersebut berjalan lancar dan dijangka selesai dalam masa tiga hari seperti diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.
“Sejurus selepas kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa pada malam berkenaan, pasukan pemulihan memulakan kerja mereka serta merta dengan membuat penilaian terhadap kerosakan dan diikuti dengan kerja-kerja awalan sebelum memulakan kerja-kerja pemulihan.
“Bahagian paling mencabar adalah untuk memisahkan gerabak-gerabak untuk kedua-dua tren dan menaikkan enam gerabak yang tergelincir kembali ke atas landasan. Sehingga malam tadi, lima daripada enam gerabak berkenaan sudah berjaya dinaikkan,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, kerja-kerja hari ini tertumpu kepada gerabak terakhir dan berkaitan dengan proses mengeluarkan tren, yang kemudiannya akan dibawa ke Depoh LRT Kelana Jaya di Subang. – K! ONLINE