SHAH ALAM – Tiada sebarang kompaun dikeluarkan kepada seorang pemandu sebuah kenderaan yang tular berhubung pergerakan sebelum pukul 8 pagi dalam sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Persiaran Anggerik Eria, Seksyen 31 di sini, hari ini.
Ini susulan penularan video berdurasi 29 saat di laman sosial Facebook dan Twitter berhubung perbualan antara anggota trafik dan pemandu tersebut ketika SJR bergerak Op Pelbagai Kesalahan Lalulintas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 di lokasi tersebut.
Berdasarkan video tersebut, pemandu kenderaan itu memaklumkan hanya ingin menuju ke sebuah pasar raya berhampiran kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam perbualan itu anggota tersebut menanyakan berkaitan surat pergerakan dan tujuan pemandu kenderaan tersebut.
“Anggota itu juga menerangkan prosedur operasi standard (SOP) pergerakan PKP dan tidak ada mengeluarkan sebarang kompaun kepada pemandu berkenaan.
“Kita ingin menegaskan bahawa tiada SOP yang menyatakan kenderaan tidak boleh berada di atas jalan raya sebelum pukul 8 pagi atau selepas 8 malam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam perkembangan berlainan, beliau memberitahu, sebanyak 78 saman atas pelbagai kesalahan lalulintas telah dikeluarkan dalam operasi bermula pukul 7 hingga 9.30 pagi.
“Hasil operasi itu juga kita mengesan sebuah kenderan lain yang gagal memastikan jumlah penumpang dalam kenderaan persendirian mengikut kapasiti kenderaan.
“Justeru, satu kompaun PKP telah dikeluarkan dibawah Peraturan 17 (3) (No 5) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 Ketika Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya. -K!ONLINE