PETALING JAYA – Pendaftaran vaksin AstraZeneca fasa 2 telah ditutup buat orang ramai kira-kira pukul 1.28 tengah hari ini.
Orang ramai yang gagal mendaftar dilihat menyuarakan kekecewaan mereka di laman Twitter Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
Pengguna bernama 95DIARY berkata: “Habis kami ini macam mana? Yang tekan butang negeri dari awal tak lepas-lepas?
“Saya masuk laman web 15 minit awal tau. Lepas tu lagi 15 minit. Akhirnya apa pun tiada,” ciapnya.
Ciap Aswadi pula: “Aku sejam setengah depan komputer riba. Buat benda alah ni. Tuptup, kau cakap penuh.”
Luahan sama turut dibuat Naddy yang berkata: “Dari pukul 12 sampailah tutup. Tak lepas langsung. Seorang pun tak lepas.
“Lain kali kalau buat sistem buat betul-betul ya. Sistem bukan guna untuk 1,000 orang tapi berjuta nak daftar.
“Korang suruh ambil vaksin tapi kemudahan untuk pendaftaran sahaja, haihhh malaslah nak cakap,” ciapnya. – K! ONLINE