ALOR SETAR – Seramai 10,827 individu yang diberikan janji temu menerusi aplikasi MySejahtera bagi menerima suntikan vaksin Covid-19 di Kedah didapati tidak hadir pada tarikh dan lokasi
Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam dan klinik kesihatan yang ditetapkan antara 19 April hingga Sabtu lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Mohd. Fikri Ujang memberitahu, jumlah ketidakhadiran bagi pelaksanaan fasa dua itu ialah kira-kira 35 peratus daripada jumlah keseluruhan individu yang diberikan janji temu iaitu seramai 30,100 orang.
Katanya, vaksin tersebut seterusnya diberikan kepada senarai menunggu yang telah disediakan oleh setiap pusat PPV kepada golongan yang memenuhi kriteria untuk fasa tersebut.
“Mereka terdiri dalam kalangan warga emas, penghidap penyakit kronik seperti hipertensi, diabetes, masalah jantung dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mereka yang tidak hadir janji temu memberikan pelbagai sebab ketika dihubungi melalui panggilan telefon bagi mengesahkan kehadiran.
“Secara umumnya antara sebab yang diberikan adalah menukar fikiran kerana belum bersedia, tidak sihat, sedang dikuarantin, berada di luar kawasan dan sebahagian kecilnya menyatakan tiada kenderaan untuk ke PPV.
“Terdapat juga mereka yang tidak menjawab panggilan telefon,” ujarnya. – K! ONLINE