KLANG – Tindakan sebuah syarikat pembungkusan sejuk beku membawa masuk 25.2 tan daging lembu dari Australia tanpa mempamerkan logo halal membawa padah apabila dirampas di Pelabuhan Barat, kelmarin.
Rampasan itu hasil rutin pemeriksan pukul 4.30 petang yang dijalankan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor.
Pengarahnya, Zamri Hashim berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua daging yang diletakkan dalam sebuah kontena tidak mematuhi syarat permit import dikeluarkan Maqis termasuk gagal mempamerkan logo halal.
Katanya, kesemua daging sejuk beku itu telah berada di pelabuhan sejak 4 Mei lalu.
“Hasil siasatan mendapati ini merupakan kesalahan pertama dilakukan syarikat tersebut dan daging lembu sejuk beku adalah untuk pasaran tempatan.
“Nilai keseluruhan daging itu dianggarkan RM309,541.03,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.
“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan sehingga enam tahun atau keduanya sekali,” katanya. -K! ONLINE