PETALING JAYA -Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin Covid-19 kepada petugas media memandangkan ramai telah dijangkiti.
Menerusi perkongsian di Twitternya, mereka juga adalah petugas barisan hadapan dan menjadi tanggungjawab mereka untuk menyampaikan berita kepada umum.
“Ramai petugas media dikhabarkan telah dijangkiti wabak Covid-19.
“Mereka merupakan petugas barisan hadapan, dan bertanggungjawab menyampaikan maklumat kepada rakyat. Tanggungjawab yang mereka galas mampu mengolah persetujuan umum,” ciapnya di Twitter.
Jelas Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, beliau berharap agar kerajaan dapat mencari langkah terbaik untuk memastikan petugas media segera divaksin.
“Justeru itu, saya gesa kerajaan untuk mempercepatkan langkah ini dan dedahkan mekanisme yang terbaik dalam memungkinkannya,” katanya.
Dalam pada itu, terdahulu Kosmo! melaporkan, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, setakat ini Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sudah menerima sejumlah 5,867 nama petugas media.
CITF memutuskan supaya mereka (pengamal media) diberi slot janji temu secepat mungkin selepas butiran lanjut diterima. – K! ONLINE