BALIK PULAU – Pasukan polis marin menumpaskan satu kegiatan memproses dan menjual air ketum selepas menahan seorang lelaki dalam serbuan ke atas sebuah rumah teres dua tingkat di Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini semalam.
Pada operasi kira-kira pukul 7 petang itu, polis menemui kira-kira 300 kilogram daun ketum dan 200 bungkus air ketum yang siap diproses.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, ketika pemeriksaan itu, pihaknya mendapati seorang lelaki berusia 34 tahun yang mengaku sebagai pemilik rumah berkenaan.
“Selepas pemeriksaan dibuat, kita menjumpai daun dan air ketum berkenaan bersama beberapa peralatan memproses dan memasaknya.
“Kita turut menemui dan merampas sebuah lori yang dipercayai digunakan untuk menghantar bekalan air ketum ke seluruh Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Rosman berkata, siasatan pihaknya mendapati suspek aktif melakukan kegiatan memproses dan mengedar air ketum sejak awal tahun ini.
“Dia memperoleh bekalan daun ketum dari Jeniang, Kedah dan menjual air ketum yang siap diproses pada harga RM5 sebungkus.
“Hasil kegiatan itu, suspek memperoleh pendapatan hasil jualan mencecah RM15,000 sebulan,” katanya.
Beliau berkata, suspek direman selama empat hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 30 Akta Racun 1952. – K! ONLINE