PETALING JAYA – Pelakon, Wan Sharmila berang apabila menjadi mangsa sebuah akuan Instagram palsu yang membuat suntingan gambarnya dalam keadaan mengaibkan.
Katanya, pihak tidak bertanggungjawab itu turut menjadikan artis lain sebagai mangsa menerusi kaedah mencantumkan gambar wajah mereka dengan tubuh bogel orang lain.
“Tolong laporkan akaun Instagram ini. Edit gambar bogel atau porno, lepas itu letak muka artis perempuan. Boleh pula hantar gambar-gambar itu pada saya.
“Ada banyak pula (gambar). Meloyakan! Minta tolong ye pada semua (melaporkan),” katanya menerusi hantaran di Instagramnya, baru-baru ini.
Enggan berdiam diri, bintang 7 Hari Mencintaiku itu membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.
Wan Sharmila atau nama sebenar, Wan Sharmila Wan Mohamed, 39, bukan satu-satunya mangsa akaun berkenaan, antara artis lain yang turut ‘terkena’ adalah Mira Filzah dan Anis Nabilah.
Di ruangan komen, chef selebriti, Anis Nabilah mendedahkan dirinya turut berdepan isu serupa malah selain laporan kepada SKMM, dia juga mahu membawa kes ini ke pihak polis.
Bagaimanapun, difahamkan akaun berkenaan sudah dipadamkan apabila tidak lagi dijumpai dalam laman sosial tersebut. – K! ONLINE