PETALING JAYA – Peniaga kereta terpakai kini lebih mudah menjual kenderaan terpakai melalui pembiayaan yang lebih mudah hasil kerjasama antara Carsome dan juga Aspirasi.
Aspirasi adalah penyedia pembiayaan mikro dan insurans mikro di bawah Axiata Digital, untuk menawarkan pembiayaan digital berasaskan data.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng berkata, melalui kerjasama tersebut, ia akan memudahkan lagi urusan peniaga kereta terpakai sekali gus menaikkan taraf industri kereta terpakai di negara ini.
Menurut beliau, proses penaja jaminan yang berdasarkan data pemarkahan kredit, penentuan harga dan pembiayaan berstruktur Carsome itu akan hanya melibatkan dokumentasi minimum.
Lebih menarik, ia akan memendekkan tempoh kelulusan dan pembayaran.
Selain itu, inisiatif ini juga bakal mengurangkan masalah yang sering dihadapi dalam proses penaja jaminan konvensional, iaitu dokumentasi yang rumit dan proses kelulusan yang mengambil masa yang lebih lama.
Menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng, penyelesaian pembiayaan tersebut akan dapat memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 2,500 peniaga kereta terpakai di platform Carsome.
“Skim pembiayaan Asprasi, digandingkan dengan keupayaan data kami akan menyaksikan peningkatan yang berdaya maju dalam keperluan pembiayaan peniaga kereta terpakai.
“Kami yakin usaha ini juga akan menjadi penyelesaian yang paling sesuai bagi peniaga yang ingin mengembangkan perniagaan mereka dengan mudah dan cepat melalui platform Carsome,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Melalui kerjasama tersebut, peniaga di platform Carsome kini layak untuk mendapat pembiayaan sehingga 80 peratus daripada nilai transaksi kereta terpakai dengan kadar pembiayaan serendah satu peratus sebulan.
Usaha sama ini dijangka dapat meningkatkan potensi pertumbuhan peniaga kereta terpakai dan meluaskan jangkauan bagi Carsome dan Aspirasi.
Aspirasi telah menyertai rakan pembiayaan Carsome yang lain seperti Funding Societies dan CIMB Bank untuk menawarkan pelbagai penyelesaian pembiayaan kepada peniaga kereta terpakai Carsome.
Inisiatif syarikat ini juga akan mewujudkan ekosistem kereta terpakai secara online yang bersepadu dengan perkhidmatan dari hujung ke hujung.
Selain pembiayaan, Carsome juga telah melaburkan lebih daripada RM10 juta di Malaysia untuk membantu penjual kereta terpakai menerusi pelbagai program termasuklah Program Sokongan Pakatan Peniaga, Program Jualan Peniaga Kereta dan juga Program Peniaga VIP.