fbpx

Polis Sabah bersiap siaga hadapi PRN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaini.

Oleh IVAN AMIRUL

KOTA KINABALU – Polis Sabah kini bersiap siaga melaksanakan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka bakal berlangsung dalam tempoh kurang dari 60 hari.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, persiapan membabitkan kekuatan keanggotaan penting berikutan terdapat pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“DUN Sabah sebelum ini hanya membabitkan 60 kerusi tetapi kali ini akan bertambah kepada 73 kerusi.

“Melihat situasi ini kita yakin jumlah pengundi juga bakal bertambah sekaligus mungkin wujud pusat pembuangan undi baharu atau pertambahan saluran mengundi.

“Namun kita masih menunggu keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kita akan laksanakan tugasan mengikut keputusan SPR.

“Jumlah saluran mengundi untuk setiap pusat mengundi itu akan menentukan bilangan pegawai yang bertugas pada hari  pembuangan undi nanti,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah semalam.

Dalam pada itu, beliau menyatakan pihaknya difahamkan akan ada perubahan ke atas bilangan pengundi di saluran mengundi.

“Jika pusat mengundi kecil maka bilangan pengundi juga akan dikurangkan.

“Cabaran lain adalah pelaksanaan PRN ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Oleh itu, persiapan rapi perlu disusun atur khususnya membabitkan keperluan logistik dan sebagainya.

“Polis akan menggerakkan semua elemen kepolisaan yang ada termasuklah Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pasukan Gerakan Am (PGA) serta PULAPOL,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung keadaan politik semasa Sabah ketika ini, Zaini berkata, polis belum menerima sebarang laporan dan keadaan masih aman serta terkawal.

“Polis akan terus memantau dan memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi sepenuhnya sebelum dan semasa PRN,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI