MANCHESTER – Bekas pemain tengah berpengaruh Manchester United, Paul Scholes memberi cadangan tiga nama untuk pasukan itu mendapatkan khidmat mereka pada jendela perpindahan musim panas nanti.
Musim ini menyaksikan United menamatkan saingan di tempat kedua ketinggalan 12 mata berbanding juara, Manchester City, manakala dipisahkan lima mata dengan Liverpool yang menduduki tempat ketiga.
Bagaimanapun, United masih mempunyai tugas penting iaitu aksi final Liga Europa berdepan Villareal awal pagi esok tetapi apa jua keputusan pada perlawanan itu tidak akan mengubah sasaran United pada jendela perpindahan nanti.
Justeru, Scholes percaya tiga pemain iaitu, Jack Grealish, Jadon Sancho dan Marquinhos mampu menambah kekuatan dan kemampuan untuk United mencabar kejuaraan liga musim depan.
“Saya fikir United memerlukan pemain yang kreatif di bahagian tengah. Sancho atau Grealish, salah seorang daripada mereka ideal untuk pasukan
ini.
“United juga mampu menjadi lebih baik jika mampu memiliki seorang pemain pertahanan tengah yang menggunakan kaki kiri tetapi ia bukanlah sesuatu kemestian.
“Saya gembira untuk melihat ada pemain baharu yang mampu beraksi bersama Harry Maguire. Victor Lindelof sudah memberikan yang terbaik tetapi ia tidak cukup untuk membuatkan mereka menjuarai liga.
“Marquinhos dari Paris Saint-Germain mungkin pilihan yang baik kerana dia seorang pemain yang bijak dan sesuai bersama Maguire. Namun, sudah pasti soal harga menyebabkan idea ini tersekat,” katanya. – AGENSI