JOHOR BAHRU – Seorang bapa kepada tiga anak antara tujuh individu ditahan dalam serbuan dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di tiga lokasi berasingan di sekitar Plentong dan Taman Kota Masai, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Saujana, Plentong.
Katanya, polis turut menemui empat botol air ketum selain pokok ketum yang ditanam di sekitar kediamannya.
“Jika dilihat pada daun pokok tersebut, dianggarkan lebih daripada 100 botol air ketum dapat dihasilkan.
“Selain daripada untuk kegunaan sendiri, kita percaya air ketum yang dihasilkan ini turut dijual kepada orang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, lelaki yang bekerja sebagai buruh kasar itu juga dipercayai menjadikan bangsal di depan rumahnya sebagai ‘port’ meminum air ketum.
Dalam serbuan di taman perumahan sama, polis turut menahan empat lagi individu yang sedang leka meminum air ketum.
Sementara itu, dalam satu serbuan berasingan di Taman Kota Masai, polis menyerbu satu lagi ‘port’ iaitu sebuah stor kecil yang dijadikan tempat memproses air ketum.
“Dalam serbuan berkenaan, polis menahan dua lelaki yang cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis ketika sedang leka membungkus air ketum.
“Siasatan awal menemui satu periuk besar yang dipenuhi daun ketum dan air ketum yang telah siap dibungkus,” ujarnya.
Mohd. Sohaimi turut memberitahu keseluruhan anggaran rampasan melibatkan 11 kilogram daun ketum dan 13 liter air ketum manakala kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. -K! ONLINE