KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin membayar RM600,000 kepada bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung beberapa artikel berunsur fitnah berhubung projek terowong bawah laut Pulau Pinang.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd. Arief Emran Arifin memutuskan demikian dalam keputusan berhubung taksiran ganti rugi itu secara dalam talian hari ini.
Menurut peguam Simon Murali yang mewakili Guan Eng ketika dihubungi, jumlah RM600,000 yang perlu dibayar itu melibatkan ganti rugi am dan teruk selain kos RM10,000 yang perlu dibayar kepada Guan Eng.
Pada 14 April lalu, Guan Eng, 61, selaku plaintif ketika memberi keterangan pada prosiding taksiran ganti rugi di mahkamah itu menuntut ganti rugi RM20 juta dalam kes saman fitnahnya terhadap Raja Petra berhubung artikel fitnah tersebut.
Katanya sebanyak 20 artikel telah disiarkan dalam kedua-dua versi bahasa Inggeris dan Melayu oleh portal Malaysia Today milik Raja Petra bermula Februari 2019.
Guan Eng memaklumkan, beliau menuntut ganti rugi RM1 juta bagi setiap artikel dan semasa artikel-artikel itu diterbitkan, beliau memegang jawatan penting sebagai Menteri Kewangan dan pemfitnahan itu adalah khusus kepada khidmatnya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.
Katanya, siri artikel itu telah dikongsi oleh pengguna internet dan artikel-artikel itu masih belum diturunkan (padam) lagi oleh defendan (Raja Petra).
Pada 28 Februari tahun lalu, Guan Eng memperoleh penghakiman ingkar selepas Raja Petra tidak memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang dikemukakan terhadapnya.
Guan Eng memfailkan saman fitnah pada 6 September 2019 berhubung satu siri artikel ‘Dari Fail SPRM’ yang disiarkan dalam kedua-dua versi bahasa Inggeris dan Melayu oleh portal Malaysia Today milik Raja Petra antara 24 Februari dan 15 Mac 2019 selain mendakwa artikel berunsur fitnah itu adalah berkaitan siasatan SPRM berhubung dakwaan rasuah dalam projek terowong berkenaan.
Setiausaha Agung DAP itu memfailkan permohonan bagi mendapatkan penghakiman ingkar selepas Raja Petra gagal memberikan maklum balas terhadap notis saman yang diiklankan Lim melalui tiga akhbar pada 10 Feb 2020. K! ONLINE