PUTRAJAYA – Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) akan bermesyuarat Khamis ini bagi menentukan selang masa pemberian dos vaksin Pfizer kepada rakyat di negara ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau sedia maklum mengenai desakan beberapa pihak supaya selang masa dos kedua Pfizer dipanjangkan bagi membolehkan ia diagihkan kepada lebih ramai penerima.
Beliau berkata, desakan itu timbul susulan penularan beberapa varian baharu Covid-19 di dalam negara ketika ini.
“Buat masa ini, selang masa bagi dos kedua Pfizer adalah selama tiga minggu manakala, AstraZeneca pula adalah 12 minggu.
“Cadangan lanjutan selang masa ini akan dibincangkan pada mesyuarat klinikal JKJAV pada Khamis ini,” katanya pada sidang akhbar mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), secara dalam talian hari ini.
Katanya, pihaknya sedia maklum mengenai tahap efektif serta keupayaan dua dos AstraZeneca dan Pfizer terhadap varian baharu wabak itu berdasarkan beberapa laporan badan kesihatan antarabangsa sebelum ini.
Khairy Jamaluddin berkata, beliau juga difahamkan, Sinovac akan menerbitkan data klinikal mereka mengenai impak varian baharu itu bulan depan.
Menurutnya, pihaknya turut mengambil maklum dan mempertimbangkan data baharu dari United Kingdom (UK) yang menyatakan dua dos vaksin diperlukan untuk melawan varian baharu itu.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, strategi kerajaan ketika ini adalah memastikan setiap rakyat diberikan vaksin secepat mungkin sebagai usaha mengekang penularan wabak Covid-19 di negara ini.
Sebelum ini, media melaporkan varian baharu Covid-19 yang tercetus di India diklasifikasikan sebagai Variant of Concern (VOC) atau varian dibimbangi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ia dipercayai lebih mudah menyebar daripada versi virus asal, dan mungkin mempunyai peningkatan daya tahan terhadap perlindungan vaksin.
Varian dikenali sebagai B.1.617 itu menambah senarai empat varian baharu Covid-19 yang dikesan di beberapa negara termasuk di Britain, Brazil dan Afrika Selatan. – K! ONLINE