JAKARTA – Empat orang ditangkap di Indonesia kerana didakwa mencuri sejumlah vaksin Covid-19 yang sepatutnya diberikan kepada banduan dan menjualnya kepada orang ramai, kata pihak berkuasa hari ini.
Semua suspek mengambil lebih 1,000 dos vaksin Sinovac daripada kuota banduan dan menawarkannya kepada pembeli di Jakarta dan bandar Medan, Sumatera Utara pada harga sekitar 250,000 rupiah (RM72) untuk satu dos.
Empat yang ditangkap itu termasuk seorang doktor di Medan dan seorang pegawai kesihatan tempatan, kata polis. Mereka boleh dihukum penjara seumur hidup di bawah undang-undang antirasuah Indonesia sekiranya didapati bersalah.
“Seorang suspek membawa vaksin itu ke Jakarta di mana kami turut menemui beberapa lokasi yang memberikan perkhidmatan haram itu,” kata jurucakap polis Sumatera Utara, Hadi Wahyudi kepada agensi berita AFP hari ini.
Indonesia terjejas teruk oleh pandemik Covid-19 dan melaksanakan program vaksinasi besar-besaran kepada ramai rakyatnya. Negara itu mempunyai hampir 270 juta penduduk.
Indonesia secara rasmi melaporkan lebih 1.7 juta kes Covid-19 dan hampir 50,000 kematian. – AFP