KEMAMAN – Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan dua kapal bekalan yang disyaki cuba melakukan pemindahan minyak diesel secara haram berhampiran Pelabuhan Kemaman dekat sini semalam.
Kedua-dua kapal bekalan dikesan dipercayai melakukan aktiviti tersebut pada kedudukan 3.4 batu nautika dari Kuala Kemaman dekat sini pada pukul 11.30 pagi.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, kedua-dua kapal tersebut ditahan selepas dikesan merapat antara satu sama lain dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal tersebut dipercayai sedang melakukan pemindahan minyak diesel tanpa kebenaran sah.
“Kita telah menahan kedua-kedua kapten kapal bersama 17 kru yang berusia dalam lingkungan 22 dan 61 tahun,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Rashidilhadi berkata, pemeriksaan mendapati kesemua kapal tersebut yang merupakan warga tempatan dan Indonesia memiliki dokumen pengenalan yang sah.
Tambah beliau, mereka yang ditahan telah dibawa ke Zon Maritim Kemaman dekat sini untuk siasatan lanjut mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952. – K! ONLINE