PETALING JAYA – Pengeluar barangan mewah Perancis, Dior menafikan sudah menamatkan kontrak supermodel terkemuka dunia, Bella Hadid ekoran kelantangan wanita itu membela nasib rakyat Palestin yang teruk ‘dikerjakan’ Rejim Zionis.
Beberapa sumber konglomerat jenama tersebut, Moët Hennessy Louis Vuitton (LVMH), memberitahu, Dior tetap bersama Bella yang sudah menjadi wajah jenama popular dunia itu sejak 2016.
“Pendirian LVMH berkaitan politik adalah neutral namun pihak kami tidak membatalkan kontrak Bella,” kata satu sumber dalaman LVMH seperti dipetik akaun jenama mewah, @diet_prada
Satu lagi sumber lain memaklumkan: “Ramai orang dalam syarikat sangat suportif tentang apa yang berlaku kerana gerakan Black Lives Matter (BLM).”
“Kematian George Floyd telah membuatkan ramai orang berani bersuara atas ketidakadilan yang berlaku di dunia. Mereka sudah sangat menderita,” kata satu lagi sumber dalaman.
Biarpun jurucakap Dior masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan perihal terbabit, menurut sumber lagi, kontrak Bella masih terjamin dan perbualan bersifat ‘tabu’ akan terus dilazimkan tanpa rasa takut akan hukuman.
“Itu membuktikan sesiapa punya hak untuk bersuara dan kontrak (Dior dan Bella) masih diteruskan,” kata satu sumber lagi.
Terdahulu, Kosmo! Online pernah melaporkan timbul desas-desus kontrak Bella dengan Dior berdepan kemungkinan ditamatkan apabila adik kepada Gigi Hadid yang juga merupakan supermodel itu secara terang-terangan menzahirkan sokongan terhadap Palestin.
Perihal itu mula bertebaran di Twitter sehingga trending satu dunia selepas seorang pengguna aplikasi TikTok mula menyebarkan informasi terbabit. Ironinya, akaun TikTok berkenaan mengeja nama Palestin dengan ejaan “Palistine”.
Untuk rekod, LVMH merupakan syarikat konglomerat yang menaungi 60 anak syarikat yang setiap satu menguruskan 75 jenama mewah dunia termasuk Christian Dior, Givenchy, Marc Jacobs, Stella McCartney, Loro Piana, Kenzo, Celine, Fenty, Princess Yachts, dan Bulgari.- K! ONLINE