PETALING JAYA – Terkejut apabila dimaklumkan tentang kejadian pertembungan dua gerabak tren Transit Aliran Ringan (LRT). Itulah reaksi segelintir petugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebaik dimaklumkan tentang kejadian melibatkan 213 penumpang malam tadi.
Pakar Perunding Perubatan Kecemasan HKL, Datuk Dr. Alzamani Mohammad Idrose berkata, beliau dimaklumkan tentang kejadian sebaik masuk bekerja pada pukul 10 malam semalam.
“Difahamkan kira-kira 30 minit sebelum saya masuk bekerja, para petugas lain dikejutkan dengan kehadiran tiga pesakit kritikal yang datang serentak sebelum 12 buah ambulan tiba lima minit kemudian.
“Susulan itu saya memberikan satu taklimat ringkas di zon merah serta kuning yang tidak terlibat dengan kes-kes Covid-19 dan semua petugas syif petang diarahkan untuk tidak pulang bagi bersama-sama membantu petugas syif malam menyelesaikan setiap kes,” katanya menerusi satu perkongsian di laman Facebook hari ini.
Menurut Alzamani, walaupun semua petugas syif petang keletihan kerana sudah sampai masa untuk pulang, mereka tetap tabah dan sabar malah tiada satu pun wajah yang memperlihatkan riak tidak suka dengan arahan tersebut sebaliknya semua nampak bersemangat.
“Saya bernasib baik kerana selain tiga pakar yang sudah ada, ada lagi pakar-pakar lain yang datang dari rumah yang kemudiannya dibahagi-bahagikan ke setiap zon untuk merawat pesakit bersama pasukan kami.
“Sementara semua itu berlaku, pesakit-pesakit Covid-19 atau yang sudah sedia ada di jabatan tetap dirawat seperti biasa,” ujar beliau.
Tambah beliau, menjelang pukul 12 malam, seramai 67 pesakit sudahpun berada di Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL dan pasukan yang ada berkerja dengan efisyen.
“Pasukan kejururawatan telah menyediakan katil-katil di hospital untuk semua yang perlukan Rawatan Rapi (ICU) dan Wad. Daripada 67 pesakit, enam adalah kritikal, 19 separa kritikal manakala 42 adalah tidak kritikal.
“Pemeriksaan lanjut juga dilakukan bagi memastikan mereka ini tiada gejala Covid-19 semasa memberikan rawatan malah bagi setiap pesakit yang perlukan kemasukan wad, ujian RTK antigen atau Gene Expert PCR dibuat,” jelas beliau.
Alzamani berkata, kesemua pesakit selesai diperiksa dan telah ada perancangan rawatan menjelang pukul 1 pagi dan satu lagi sesi taklimat dilakukan pada pukul 1.25 pagi sebelum arahan untuk ‘stand down’ diisytiharkan tepat pukul 1.38 pagi.
“Walaupun insiden ini dapat ditangani, ‘loceng’ terus berbunyi bagi kes-kes Covid-19 yang datang ke hospital membawa pesakit yang tercungap-cungap. Dua daripada mereka terpaksa kami ‘tidurkan’ dan pasangkan mesin ventilasi.
“Bencana seperti ini tidak memilih masa malah masih boleh berlaku ketika pandemik dan mengusutkan lagi keadaan namun tidak kira walau apapun krisis yang menimpa, kita harus tenang, rasional, sabar dan bersatu hati menyelesaikan setiap masalah,” ujarnya.
Perkongsian oleh Alzamani di laman Facebook itu telah mendapat lebih daripada 7,000 tanda suka dan 1,200 perkongsian daripada netizen yang rata-ratanya memuji kesungguhan pasukan perubatan menjalankan tugas menyelamatkan mangsa.
Terdahulu, Kosmo! Online semalam melaporkan, seramai 213 penumpang tren LRT laluan Kelana Jaya cedera selepas tren berkenaan brek secara mengejut di Stesen KLCC dari arah Kampung Baru, Kuala Lumpur.-K!ONLINE