fbpx

Mengaku salah baling mercun bola pada anggota polis SJR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail menunjukkan sebuah motosikal dan mercun yang dirampas polis seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

SELAYANG – Dua lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membaling mercun bola ke arah anggota polis yang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) minggu lalu.

Kedua-dua tetuduh iaitu Muhammad Amirul Syafiq Yasin, 21, dan seorang pesalah juvana berusia 17 tahun membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Memandangkan kedua-duanya masing-masing pesalah muda dan juvana, mahkamah menetapkan 25 Ogos ini bagi tarikh jatuh hukum sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa telah menakutkan secara jenayah terhadap konstabel Mohd. Alifnajmi Kassim dan 11 orang lagi petugas SJR Mobile Op Covid-19 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Balai Polis Gombak dengan cara membakar dan membaling tiga biji mercun jenis bola.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Lebuh Raya Karak sebelum Plaza Tol Gombak pukul 10.30 malam pada 18 Mei lalu yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 34 kanun yang sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan mereka diikat jamin RM1,500 setiap seorang sementara menunggu tarikh jatuh hukum seperti yang ditetapkan.

Kosmo! Online 19 Mei lalu melaporkan tindakan dua lelaki melontar mercun jenis bola ke arah anggota polis yang bertugas di SJR mengundang padah selepas mereka ditahan ketika cuba melarikan diri.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 malam semalam itu berlaku di SJR Lebuh Raya Karak sebelum Plaza Tol Gombak menghala ke Bentong.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI