JOHOR BAHRU – Tiga anggota polis berpakaian preman yang mengugut sepasang kekasih agar tidak diambil sebarang tindakan ketika berdua-duaan di dalam sebuah kereta telah dikenakan tindakan mahkamah, hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku di kawasan tambak, Pontian pada pukul 9 malam, 20 Mei lalu.
“Dalam kejadian tersebut, tiga anggota polis berusia antara 27 hingga 33 telah mengugut sepasang kekasih untuk memberi wang sebanyak RM5,000 jika tidak mahu diambil sebarang tindakan undang-undang dan dirujuk ke Jabatan Agama Islam.
“Disebabkan ketakutan, salah seorang mangsa telah mengeluarkan wang di bank sebelum suspek turut meminta gelang dan cincin emas mangsa wanita sebagai cagaran kerana tidak mendapat wang secukupnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Ayob turut memberitahu, ketika tangkapan dibuat, polis turut menemui gelang dan cincin emas yang diugut suspek daripada salah seorang mangsa kejadian.
Tambah beliau, sehubungan itu ketiga-tiga anggota berpangkat Lans Koperal itu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini untuk didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.
“Ketiga-tiga tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah dan diberikan jaminan mahkamah sebanyak RM7,000 masing-masing,” ujarnya.-K! ONLINE