PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan memanggil Pakar Perunding Perubatan dan Pakar Nefrologi Hospital Putrajaya, Dr. Rafidah Abdullah bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai ciapannya berkenaan peranan media di laman Twitternya.
KKM dalam satu kenyataan berkata, ciapan Dr. Rafidah berkenaan tidak mewakili kementerian tersebut.
“Pihak KKM akan memanggil Dr. Rafidah untuk mendapatkan penjelasan lanjut bagi memastikan perkara sebegìni tidak berulang lagi.
“KKM sangat menghargai peranan media yang banyak membantu kementerian dalam menangani wabak pandemik Covid-19. Sebarang kesulitan yang timbul adalah amat dikesali,” katanya hari ini.
Dr. Rafidah dalam ciapannya sebelum ini mempersoalkan peranan serta meminta media mengutamakan penghasilan berita bagi mempromosikan kebaikan vaksin kepada rakyat.
“Media mana? Tolong tunjukkan kebaikan vaksin kepada rakyat. Tak payahlah cerita-cerita artis langgar SOP (prosedur operasi standard). Pedulikan mereka ini.
“Gantikanlah program-program tidak berilmiah dengan yang boleh mempengaruhi minda masyarakat kita ke arah membuat keputusan yang lebih betul. Lebihkan,” ciapnya.
Sementara itu, Dr. Rafidah meminta maaf kepada media dalam satu ciapannya hari ini.
“Kepada semua kakitangan media, saya meminta maaf sekiranya kenyataan dibuat melukakan sesiapa.
“Mari kita ketepikan perbezaan demi negara. Bantu antara satu sama lain,” ciapnya. – K! ONLINE