PETALING JAYA – Selepas dikecam hebat netizen kerana didakwa kurang sensitif tentang isu Covid-19, penyanyi Iman Troye bertindak menyahaktif akaun Twitternya sejak semalam selepas memuat naik satu ciapan berbaur sindiran.
Menerusi satu ciapan yang dimuat naik dalam Twitternya, Iman Troye atau nama sebenarnya Siti Nur Alyssa Shahabudin telah menulis satu kenyataan sinis tetang statistik kes jangkitan harian Covid-19 pada Ahad lalu.
“Happy 6.9K everyone. Congratulations. (Selamat 6.9 ribu semua. Tahniah.) Harap esok dapat 7,000,” ciapnya.
Ekoran daripada gurauan tersebut, Iman Troye menjadi perhatian pengguna Twitter apabila dia dituduh sebagai tidak sensitif di saat negara sedang berusaha membendung penularan pandemik Covid-19.
Kecaman bertalu-talu oleh pengguna Twitter yang lainnya menyebabkan penyanyi yang popular menerusi lagu Teman itu terpaksa menutup akaun Twitternya.
Malah, susulan itu tersebut, nama Iman Troye juga kini sohor kini dalam Twitter selepas muncul dalam lebih 18,000 ciapan.
Selain dinilai sebagai tidak sensitif, Iman Troye juga dikecam kerana dia seolah-olah tidak menghormati perasaan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus membantu pesakit yang dijangkiti Covid-19.
“Iman Troye patut disingkirkan dari industri,” kata seorang pengguna Twitter.
“Elok la Iman Troye tutup akaun. Dah la tidak reti nak jaga sensitiviti orang. Netizen sekarang sudah la sensitif,” ujar seorang lagi pengguna.
Sehingga kini, usaha Kosmo! Online mendapatkan kenyataan daripada pihak pengurusan Iman masih tidak berhasil.
Pada Ahad lalu, Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi Covid-19 dengan jumlah 6,976 kes sehingga ramai yang mendesak supaya pihak kerajaan melaksanakan perintah berkurung (total lockdown) di seluruh negara. – K! ONLINE