fbpx

Penduduk dilarang pesan makanan secara ‘online’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Beban penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau yang terpaksa berkurung selama 14 hari gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bertambah apabila pihak keselamatan tidak membenarkan pesanan makanan dalam talian dibuat bermula semalam.

Menurut seorang penduduk, pihak keselamatan dengan tegas mengeluarkan arahan tersebut menerusi satu siri pengumuman yang dibuat menggunakan pembesar suara secara mengejut pada pukul 7 malam tanpa sebarang notis awal.

“Kebetulan sebelum pengumuman dibuat, saya sempat melihat dari tingkat atas situasi di laluan masuk kawasan PKPD yang agak sesak dengan penghantar makanan di bahagian luar manakala penerima di bahagian dalam.

“Tidak lama kemudian, pengumuman melarang membuat pesanan makanan secara atas talian termasuk larangan menerima bekalan makanan daripada saudara-mara atau kenalan terdekat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, larangan itu juga mungkin dibuat berdasarkan hasil penelitian pihak keselamatan yang mendapati situasi ketika itu tidak selamat dan boleh menjadi punca wabak Covid-19 terus menular dalam kalangan penduduk.

“Saya ada terdengar desas-desus yang mendakwa berlakunya insiden bersentuhan antara penghantar makanan dengan penduduk setempat, sebab itu larangan terus dibuat.

“Di sini penduduk yang tidak memakai gelang merah jambu boleh turun mengambil makanan atau barangan sendiri sekiranya pihak keselamatan menghubungi mereka, secara tidak langsung kita boleh tahu ada juga penduduk yang tidak menjalani ujian saringan” katanya lagi.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan pada Jumaat lalu mengumumkan penduduk PPR Kampung Limau perlu menjalani PKPD bermula 23 Mei hingga 5 Jun.

Arahan berkenaan dibuat ekoran 59 daripada 150 penduduk disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan pada hari yang sama.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI