SEBERANG PERAI – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mendakwa tidak pernah menggunakan sebarang kekerasan atau bersikap tidak bertimbang rasa dalam melakukan sebarang tindakan penguatkuasaan.
Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, ini termasuk berkaitan isu aduan dan tangkapan kucing yang tular dalam laman sosial Facebook ketika ini yang mendakwa menyebabkan seorang individu mengalami serangan jantung dan meninggal dunia kerana terlalu sedih dengan kejadian berkenaan.
Dalam kes itu katanya, MBSP hanya bertindak atas aduan berulang mengenai kucing yang berkeliaran dan membuang najis di merata-rata tempat.
Beliau berkata, selain menyiasat, pihaknya turut menasihatkan pemilik atau penjaga haiwan itu supaya tidak membiarkan kucing mereka lepas secara bebas dan mengurangkan jumlah kucing yang dibela bagi mengelakkan gangguan seperti lepas bebas dan bau busuk.
“Ketika siasatan, pemilik tersebut secara sukarela ingin menyerahkan seekor kucing yang disangkakan bunting kepada pegawai MBSP dan memaklumkan ia akan diserahkan kepada pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bekerjasama dengan MBSP.
“Ketika itu juga, tiada serahan notis dibuat kerana tujuan siasatan adalah untuk memberi nasihat kepada pemilik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, satu hantaran Facebook yang dipercayai dimuatnaik oleh anak mangsa semalam mendakwa, rumah mereka telah didatangi oleh pegawai penguatkuasa MBSP pada 19 Mei lalu untuk menangkap kucing itu yang didakwa berkeliaran.
Menurut pemilik akaun itu, ibunya cuba merayu agar kucing tersebut tidak diambil kerana bimbang akan menghadapi masalah kemurungan tanpa haiwan itu, namun katanya rayuan terbabit tidak diendahkan.
Tambahnya, ketika melakukan rutin harian seperti mencari dan membersihkan najis haiwan tersebut termasuk di kawasan kejiranan keesokan paginya, wanita itu bagaimanapun mengalami serangan jantung secara mengejut sebelum meninggal dunia.
Hantaran itu kemudian tular di laman Facebook hingga mendapat reaksi lebih daripada 26,000 pengguna dan dikongsi sehingga sekurang-kurangnya 4,800 kali di laman sosial berkenaan kerana simpati dengan nasib wanita tersebut. – K! ONLINE