PERSATUAN Sepak Takraw Negeri Sabah (Astaka) menjadi persatuan negeri seterusnya membuat keputusan meninggalkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sebagai ahli gabungan badan induk itu semalam.
Presiden Astaka, Datuk Awang Sham Amit berkata, keputusan tersebut diambil selepas memandang serius tindakan keras yang diambil oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) dengan menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungannya pada 20 Mei lalu.
Katanya, selepas tidak lagi menjadi ahli gabungan Astaf, Malaysia dilihat bakal berdepan kesukaran untuk meneruskan kelangsungan sukan itu pada masa akan datang sekali gus memberi sokongan kepada pembentukan persatuan baharu.
“Bagi memastikan kelangsungan pembangunan sukan sepak takraw negara, Astaka melalui Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif pada 22 Mei memutuskan menarik diri sebagai ahli gabungan PSM berkuatkuasa serta-merta.
“Pada masa sama, Astaka menyokong usaha penubuhan persatuan badan induk negara yang baharu bagi memastikan kelangsungan sukan sepak takraw terus maju ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Ketika ini, hanya beberapa negeri masih setia bersama PSM sebagai ahli gabungan termasuk Pahang, Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang dan Labuan, manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih kekal sebagai ahli bersekutu.
Terdahulu, Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) muncul ahli gabungan pertama bercerai dengan PSM diikuti Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT).
Turut mengumumkan menarik diri ialah Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pestap), Persatuan Sepak Takraw Perak (Persedar), Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans).