DALAM keadaan negara menghadapi peningkatan kes Covid-19 yang kini melebihi 6,000 angka dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, pengambilan tenaga kerja asing dalam semua sektor masih dibekukan.
Perkara itu jelas seperti yang dinyatakan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan pada 20 Mei lalu bahawa kerajaan mahu kekosongan dalam sektor tertentu diisi oleh tenaga kerja tempatan khususnya golongan belia.
Sebelum pelaksanaan PKP pada tahun lalu, seramai 1.7 juta pekerja asing berdaftar direkodkan dan jumlah itu terus berkurangan selepas kira-kira 500,000 dihantar pulang ke negara asal.
Secara umum, menurut Jabatan Imigresen, Malaysia hanya membenarkan pekerja asing diupah dalam beberapa sektor pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan.
Dengan bilangan penganggur yang meningkat kepada 772,000 orang pada suku pertama tahun ini berbanding 547,000 bagi tempoh sama tahun lalu, penulis berpendapat tidak salah kiranya jika mereka meninjau peluang pekerjaan dalam sektor yang banyak bergantung kepada pekerja asing.
Malah jika diikutkan ramai rakyat Malaysia sebelum ini yang ‘berebut’ untuk melakukan pelbagai kerja termasuk pekerjaan sukar, kotor dan berbahaya di luar negara kerana menginginkan bayaran lumayan yang ditawarkan.
Ini membuktikan golongan belia di negara ini mampu melaksanakan kerja sedemikian tetapi memilih bekerja di negara jiran disebabkan gaji yang ditawarkan lebih berbaloi.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran, Mohamad Rizan Hassan berkata, negara memerlukan lebih ramai anak muda tampil mengisi pelbagai jawatan yang ditinggalkan oleh pekerja asing.
Beliau berpendapat, tiada cara yang lebih berkesan untuk menghakis tanggapan itu selain memberi upah atau gaji yang lebih baik kepada pekerja kolar biru.
“Jika penghargaan ini dibuktikan maka bekalan pekerja kolar biru akan bertambah dan kemahiran mereka juga akan meningkat,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Mohamad Rizan yang juga Ketua Projek Belia Mahir, usaha-usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dan separuh mahir juga mungkin akan lebih berjaya jika masyarakat dapat mengubah sikap dan tanggapan ke atas pekerjaan kolar biru itu.
“Pencapaian matlamat untuk kebangkitan dalam era pandemik Covid-19 ini bergantung besar kepada kejayaan mewujudkan kumpulan pekerja mahir dalam kalangan belia yang mencukupi di dalam berbagai bidang.
“Oleh yang demikian, tanggapan negatif ke atas pekerjaan kolar biru wajarlah dihakis dalam kalangan kita semua,” katanya.
Tambahnya, perhatian yang lebih berat perlu diberikan terhadap melengkapkan golongan belia dari pelbagai latar belakang dengan kemahiran yang diperlukan industri.
“Industri juga perlulah memainkan peranan membantu usaha kerajaan dengan memberi latihan supaya pengeluaran tenaga kerja dipercepatkan selaras dengan perkembangan masa kini,” katanya.
Penganalisis Penyelidikan di EMIR Research, Sofea Azahar juga dipetik berkata, situasi semasa memerlukan rakyat berfikiran terbuka terhadap apa-apa jenis pekerjaan selagi tidak bertentangan undang-undang untuk membolehkan mereka bertahan dalam keadaan pandemik yang getir ini.
Oleh itu, katanya, pekerjaan kolar biru juga perlu dihormati dan dihargai masyarakat.
“Selagi minda masyarakat tidak diubah, majikan tidak mempunyai pilihan lain, selain terus bergantung kepada pekerja asing untuk memenuhi permintaan ekonomi,” katanya. -K! ONLINE