LILLE – Pasukan Lille berjaya mempamerkan aksi kelas tersendiri untuk menjulang trofi Ligue 1 buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun selepas menewaskan Angers 2-1 dalam aksi terakhir liga yang berlangsung awal pagi semalam.
Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan Lille unggul dengan 83 mata berbanding pencabar terdekat, Paris Saint-Germain (PSG) yang meraih 82 mata selepas turut menang pada aksi terakhir menentang Brest awal pagi semalam.
Ketua jurulatih Lille, Christophe Galtier mengakui pasukannya berhak bergelar juara meskipun apa yang mereka lalui musim ini bagaikan ‘kisah dongeng’ terutama apabila berdepan tekanan hasil cabaran hebat yang diberikan oleh PSG.
“Ini adalah musim yang luar biasa kami pamerkan khususnya apabila pasukan anda perlu menafikan kualiti yang ada pada PSG yang memiliki dana lebih besar berbanding kami. Namun, saya percaya inilah lumrah bola sepak yang mana tiada perkara yang mustahil untuk dilakukan.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan pemain dan kejurulatihan yang memberikan komitmen penuh bagi memastikan impian kecil kami untuk menamatkan kejuaraan yang kali terakhir dimenangi 10 tahun lalu berjaya direalisasikan,” katanya.
Sementara itu, kapten Lille, Jose Fonte percaya sentuhan magis yang dimiliki oleh Galtier menjadi punca utama bagaimana pasukan boleh mempamerkan aksi yang begitu konsisten musim ini.
“Secara jujur, saya boleh katakan Galtier adalah jurulatih terbaik yang pernah membimbing saya sepanjang karier kerana apa yang dilakukan cukup teliti tidak kira daripada aspek menyerang hingga pertahanan.
“Ini adalah prestasi yang luar biasa dan kami hadiahkan kejayaan ini buat penyokong,” katanya. – AGENSI