PETALING JAYA- ‘Mak buka mata mak, mak mengucap.”
Demikian kata seorang wanita kepada ibunya yang dipercayai sedang bertarung nyawa di sebuah hospital disebabkan jangkitan Covid-19.
Kata-kata meruntum jiwa itu dilafazkan wanita berkenaan kepada ibunya menerusi satu panggilan video berdurasi satu minit 37 saat yang tular di laman media sosial, hari ini.
Selain wanita itu, turut kelihatan beberapa individu lain dipercayai anak-anak yang turut sama meminta ibu mereka mengucap selain diampunkan dosa oleh Sang Pencipta.
Difahamkan, kejadian berkenaan berlaku di Hospital Shah Alam dan wanita itu dilaporkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Berita itu dipercayai dikongsikan oleh seorang lelaki dipercayai menantu kepada wanita itu.
“Hari ini (24 Mei) pukul 4.45 pagi tadi, ibu mertua kesayangan saya telah kembali ke rahmatullah. Meninggal dunia di Hospital Shah Alam. Arwah meninggal sebab Covid-19. Tiga minggu dalam unit rawatan rapi (ICU) sebab sesak nafas memerlukan bantuan oksigen.
“Jadi, punca (dijangkiti) Covid-19 kerana kakak ipar dapat melalui kawan pejabat. Kakak ipar jumpa mak mertua saya cium tangan dan berborak secara rapat. Apabila kakak ipar pergi buat ‘swab test’, dia positif (Covid-19).
“Bawa mak mentua pergi ujian terus positif. Boleh bertahan tiga minggu selepas itu meninggal dunia. Jadi hati-hati kawan-kawan semua,” katanya. -K! ONLINE