KUALA SELANGOR – Tindakan sekumpulan pekerja asing yang memakai gelang pink memasuki kedai di pekan Sungai Sembilang, Jeram di sini tular hari ini.
Mereka adalah antara pekerja asing disyaki kontak rapat selepas 44 daripada rakan mereka yang bekerja di kilang dipercayai menjalankan penghasilan sarung tangan, positif Covid-19.
Insiden itu kemudiannya mendapat pelbagai reaksi pengguna laman sosial Facebook yang jelas marah terhadap perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu dengan menyalahkan majikan yang tidak memantau pekerja mereka.
Malah ada pengguna mempersoalkan keistimewaan diberikan kepada kilang untuk terus beroperasi ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa dalam kenyataannya memaklumkan, berdasarkan siasatan kejadian berlaku pada hari ini dengan dua bas sedang menunggu pekerja yang telah disaring sebelum dihantar ke pusat kuarantin di Meru, Klang.
“Bagaimanapun, terdapat pekerja yang disyaki kontak rapat dan memakai gelang pink telah mengambil kesempatan pergi ke kedai.
“Polis yang menerima maklumat pukul 2 petang terus ke lokasi kejadian dan mengarahkan pekerja tersebut berkumpul untuk dibawa ke pusat kuarantin,” katanya. -K!ONLINE