PETALING JAYA – Seramai 800 individu yang didapati masih berdegil dan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditahan oleh Task Force Operasi Pematuhan di seluruh negara, semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua individu tersebut ditahan dalam operasi pemantauan yang diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi 68,069 pemeriksaan yang dilakukan.
“Antara kesalahan yang direkodkan adalah tiada penjarakan fizikal (248), gagal merekod butiran diri (219), tidak memakai pelitup muka(133) dan didapati tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (61).
“Turut ditahan dalam operasi pemantauan berkenaan adalah mereka yang didapati membawa penumpang berlebihan (13) dan lain-lain kesalahan (126),” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ismail Sabri, seramai 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) turut ditahan semalam termasuk 12 buah kenderaan darat dirampas menerusi Op Benteng yang dilakukan di sempadan negara.
“Sebanyak 182 buah bot dan kapal juga turut dikesan di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan yang dilakukan,” ujarnya.- K!ONLINE