PUTRAJAYA – Operator lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi pada tahap optimum bagi memastikan aktiviti-aktiviti import dan eksport tidak terjejas ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pihak kementerian menyambut baik keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menghadkan kapasiti tenaga kerja sektor swasta hingga 60 peratus di seluruh negara dalam usaha mencegah wabak Covid-19.
Katanya, pada masa sama, penghantaran barangan keperluan melalui penerbangan dan pelabuhan ke destinasi akhir seluruh negara juga perlu dipastikan tidak terjejas.
“Oleh itu, saya telah mengarahkan pihak berkuasa dan operator lapangan terbang serta pelabuhan untuk mengoptimumkan tenaga kerja bagi operasi mereka mengikut keperluan masing-masing bagi memastikan aktiviti-aktiviti import dan eksport tidak terjejas ketika PKP 3.0
“Kementerian akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa untuk memastikan pergerakan penghantaran barangan serta kargo tidak terbantut dan menjejaskan rakyat sebagai pengguna,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada masa sama, Ka Siong berkata, semua kakitangan di lapangan terbang dan pelabuhan turut diingatkan supaya sentiasa mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Ini termasuklah menggunakan cecair pembasmi kuman, memakai peralatan pelindungan diri (PPE) bersesuaian, mengamalkan penjarakan sosial dan mengimbas kod QR MySejahtera jika diperlukan,” katanya. -K! ONLINE