KUALA LUMPUR – Saksi ke-17 memberitahu Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi bahawa Datin Seri Rosmah Mansor telah menerima wang sumbangan politik RM6.5 juta berhubung Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion.
Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin, berkata kesemua jumlah wang itu diberikan melalui dua pertemuan yang dilakukan di dua tempat berasingan iaitu di rumah Rosmah di Jalan Langgak Duta dan di Pavilion di sini.
Saidi memaklumkan pada 7 September 2017 dia sendiri telah mengeluarkan wang sebanyak RM1.5 juta dari akaun Maybank Islamic kepunyaannya.
“Wang RM1.5 juta itu telah dimasukkan dalam dua beg galas berwarna hitam dan oren yang kemudian beg itu dibawa oleh saya dan rakan kongsi bernama Rayyan (saksi ke-16) ke rumah Datin Seri Rosmah di Jalan Langgak Duta dengan menaiki kereta.
“Sejurus sampai di rumah itu, Shamsul (pemandu Saidi) telah meletakkan beg berisi wang itu di atas lantai tepi sofa di ruang tamu rumah tersebut,” katanya ketika membaca penyataan saksi pada perbicaraan kes rasuah melibatkan Rosmah dalam projek solar itu.
Kata, Saidi turut berada di dalam rumah itu ialah bekas Pegawai Khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor namun tidak bersama dalam perbincangan tersebut.
“Saya memberitahu kesemua wang seperti yang diminta telah diberi dan pada masa itu Datin Seri Rosmah yang ada di hadapan saya hanya menyebut “Hmmm”,” katanya yang memaklumkan pertemuan itu berlangsung selama lima minit.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Sri Gopal Sri Ram, berkenaan reaksi Rosmah berhubung wang diberikan, saksi itu menjawab Rosmah tidak menolak tetapi hanya tersenyum.
Terdahulu, dalam prosiding itu Saidi turut menyatakan dia mengeluarkan RM5 juta dari akaun Maybank miliknya pada 20 Disember 2016 untuk diberikan kepada Rosmah melalui Rizal.
“Saya kemudian menghantar wang RM5 juta yang diletakkan dalam dua beg bagasi yang mana setiap beg berisi RM2.5 juta. Saya menghantar wang itu dengan menaiki kereta bersama pemandu peribadi dan terus ke bangunan Pavilion, Kuala Lumpur.
“Sampai disana, saya diarahkan untuk meletakkan dua beg bagasi itu di dalam bilik milik seorang indvidu yang dikenali sebagai Lawrence dan pada masa sama Datuk Rizal Mansor turut berada di situ,” ujarnya.
Saidi turut memaklumkan dia tidak menerima resit selepas kesemua wang berjumlah RM 6.5 juta diberikan kepada Rosmah atas tiket sumbangan politik Barisan Nasional (BN)/UMNO.
Perbicaraan bersambung lagi esok di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.
Pendakwaan dikendalikan Gopal manakala pembelaan diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader. – K!ONLINE