GUA MUSANG – Seramai 11 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di tingkat tiga, Program Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang di Jalan Persiaran Raya di sini hangus dalam kebakaran, hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.50 tengah hari ini, satu unit rumah musnah, manakala 72 unit rumah yang dihuni 72 keluarga lain di blok PPR sama terselamat apabila kebakaran berjaya dikawal anggota bomba.
Menurut mangsa, Nur Mas Syahrawani Bakar, 16, ketika kejadian dia berada di rumah bersama bapa, abang dan anak saudaranya.
Katanya, dia menyedari kebakaran berlaku di bahagian dapur selepas keluar dari biliknya sebelum meminta ahli keluarga lari menyelamatkan diri.
“Ketika kejadian, ibu dan adik beradik serta anak saudara lain tiada di rumah kerana mereka keluar bekerja dan ke kedai membeli barangan.
“Saya lihat api sedang marak membakar bahagian dapur sebelum menjerit meminta tolong dan kami semua berlari keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui pemberita di PPR Gua Musang hari ini.
Sementara itu, ibunya, Robiah Mohd. Daud, 51 yang merupakan tukang sapu berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja di Bandar Utama lalu bergegas pulang ke rumah.
Katanya, sebelum ke tempat kerja pagi tadi, dia sempat menyiapkan sarapan untuk suami, anak serta cucunya.
“Ketika sampai di rumah saya lihat anggota bomba sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran dan barangan elektrik seperti peti sejuk, mesin basuh dan televisyen musnah dalam kejadian itu.
“Saya bersyukur apabila ahli keluarga lain terselamat dan tiada yang cedera,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.55 tengah hari.
Katanya, seramai 11 anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi dan memadamkan api yang sedang marak membakar bahagian dapur rumah terbabit.
Tambahnya, punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan. -K! ONLINE