GEORGETOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyambut baik keputusan kerajaan berhubung had masa dua jam yang ditetapkan kepada pelanggan di dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah yang berkuatkuasa mulai esok.
Pengawai Penyelidiknya, N. V. Subbarow berkata, tempoh masa maksimum dua jam yang diberikan kepada pengguna adalah sangat memadai sekali gus mampu menyelamat nyawa rakyat Malaysia daripada penularan wabak Covid-19.
Menurutnya, pengguna seharusnya memainkan peranan penting sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan sekatan lebih ketat bermula esok.
“Elak budaya ‘window shopping’ semasa mengunjungi ke pasar raya mahupun pusat beli-belah termasuk membelek barangan atau produk terlalu lama sebelum dibeli.
“Pengguna juga disarankan membuat senarai semak bagi barangan yang hendak dibeli sebelum ke pasar raya termasuk membeli keperluan atau stok untuk dua hingga tiga hari.
“Sekiranya barangan yang dikehendaki boleh didapati di kedai berhampiran rumah, elak keluar ke pasar raya jika tiada sebarang keperluan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Berhubung kemungkinan berlaku pembelian panik dalam tempoh dua jam yang ditetapkan, beliau berkata, tidak semua pengguna akan keluar serentak pada masa sama ke pasar raya mahupun pusat beli-belah.
“Ini penting adanya senarai semak barangan keperluan. Sekiranya sudah tahu apa yang hendak dibeli, memang tidak akan berlaku sebarang pembelian panik nanti.
“Semua urusan akan jadi cepat dan mudah dalam tempoh 45 minit berbanding had masa dua jam yang ditetapkan kerajaan esok (hari ini). Saya juga pernah melakukan perkara sedemikian dan berjaya memperoleh had masa maksimum tersebut,” jelasnya.
Tambahnya lagi, pengguna dan pihak pengurusan pusat beli-belah perlu memainkan peranan penting dalam penetapan had masa maksimum itu bagi mengelak dikenakan kompaun ketidakpatuhan prosidur operasi standard (SOP) Covid-19. – K! ONLINE